Wednesday, November 5, 2008

PENJENAMAAN NAMA BARU KEM

Bagi menaikkan taraf fizikal Kem Pengakap Bukit Putus daripada peringkat daerah kepada peringkat negeri maka pada tahun 2007, pentadbiran kem ini diserahkan kepada PPM Cawangan Negeri Sembilan dengan nama barunya KEM PENGAKAP NEGERI SEMBILAN.

LOKASI KEM

Kem Pengakap Bukit Putus terletak di KM15 jalan Kuala Pilah dari Seremban. Posisinya betul-betul pada selekoh pertama di kaki Bukit Putus dalam daerah Seremban.

Sejarah Kem Pengakap Bukit Putus Seremban.

SEJARAH PENCARIAN
Pada 1 Mac 1996 kem ini telah dilhamkan oleh Encik Mohammad Hanafiah bin Haji Maulud semasa mesyuarat Majlis Pengakap Negeri Sembilan. Berdasarkan kepada mesyuarat tersebut En. Mohamad Yassan telah meminta En. Mohammad Hanafiah merujuk kepada Pejabat Tanah Daerah Seremban mengenai Tanah Rizab kerajaan yang berkaitan dengan kem pengakap. Berkat pencarian itu, rupanya ada sebidang tanah telahpun dirizabkan untuk pengakap merujuk kepada fail pejabat tanah PTS 370/131/89/01 lokasi lembar piawai 46-D, 47-C & 56-B dengan keluasan 13 ekar.

Ketika itu En. Mohammad Hanafiah adalah Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Seremban Timur dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pesuruhjaya Pengakap Daerah Seremban Timur maka tanah rizab itu dipertanggungjawabkan kepada Persekutuan Pengakap Daerah Seremban Timur untuk dibangunkan sebagai tapak kem pengakap.

PAPAN TANDA KEM PERTAMA
Pada 13 Julai 1996, En. Mohammad Hanafiah bersama En. Yacob b. Mansor bersama pasukan pengakap Sekolah Menengah Vokasional Ampangan Seremban telah mengadakan perkelahan sehari di tapak kem dan terus menaikkan papan tanda Kem Pengakap Bukit Putus yang dibuat sendiri oleh pelajar Kimpalan SMV Ampangan tersebut. Keadaan muka bumi tapak kem adalah bergaung dan berbukit hutan dengan tinggalan dusun dan berbatasan sayuran serta tanpa sebarang kemudahan asas ketika itu.

BANGUNAN PERTAMA DIDIRIKAN
Dengan kerjasama yang diberikan oleh Maljis Pengakap Negeri Sembilan dan sumbangan pihak swasta dan ahli-ahli politik, Persekutuan Pengakap Daerah Seremban Timur dapat mendirikan sebuah dewan terbuka serta sebuah blok tandas mengandungi 5 unit pada awal Mei 1998.